Majlis Forum Perdana Ramadhan & Majlis Berbuka Puasa 2008
    Syarikat sediakan 'juadah rohani' sebelum juadah istimewa berbuka puasa...
 

   

 

Forum Perdana diserikan dengan kehadiran Ustaz Wan Akashah, Ustazah Siti Nor Bahyah dan Ustaz Zamri

Sabtu 13hb September lepas menyaksikan sebuah majlis yang meriah dan ceria diadakan di perkarangan ibu pejabat Ana Edar Sdn. Bhd. iaitu Majlis Forum Perdana Ramadhan diikuti dengan majlis berbuka puasa. Majlis tersebut yang diserikan oleh kehadiran Duta Kehormat Produk Ustaz Wan Akashah dan Ustazah Siti Nor Bahyah, serta personaliti dakwah popular Ustaz Zamri, bermula jam 5.00 petang dengan para panelis mengupas tajuk “Menghidupkan 10 malam terakhir dan Malam Lailatul Qadar”.

Ustaz Wan Akashah telah memulakan forum dengan menceritakan kebesaran Lailatul Qadar yang merupakan satu anugerah besar serta simbol kesayangan Allah kepada kita. Malam yang disifatkan sebagai lebih baik daripada seribu bulan, atau lebih 80 tahun, adalah sebuah peluang hanya diberikan kepada umat Muhammad, supaya mendapat pahala yang sama banyak atau lebih daripada umat terdahulu yang dianugerahkan Allah dengan umur yang panjang.

Ustazah Siti pula memberi beberapa langkah persediaan yang perlu dilakukan untuk menanti kehadiran Lailatul Qadar, termasuk perasaan yang gembira, keazaman yang tinggi untuk berusaha mendapat malam yang penuh barakah ini, serta tidak lupa juga ilmu yang sahih tentang amalan yang seharusnya dilakukan pada malam tersebut untuk mengelakkan diri kita daripada melakukan perkara-perkara khurafat yang akan mencemari kemuliaan malam tersebut.

Ustaz Zamri juga tidak ketinggalan memberi tips yang cukup berfaedah bagi mendidik anak-anak supaya berpuasa, iaitu dengan menggunakan uslub atau kaedah Al-Quran. Ini dilakukan dengan menggabungkan ‘targhib’ iaitu menjanjikan ganjaran seperti memasak makanan kegemaran anak-anak, dan ‘tarhib’ iaitu memberi amaran atau mengenakan hukuman yang wajar. Beliau yakin dengan kesedaran yang ada pada hari ini, anak-anak dapat menjalankan ibadah puasa walaupun usia masih muda.

Majlis diakhiri dengan agenda berbuka puasa dan para jemaah dijamu dengan menu istimewa nasi beriyani, kari kambing, ayam goreng berempah dan ikan ‘sweet n sour’. Adalah diharapkan majlis seperti ini dapat mengeratkan lagi silaturrahim sesama syarikat dan warga ana, di samping mendapat ilmu bermanfaat yang dapat digunakan untuk mempersiapkan diri menghadapi sepuluh malam terakhir serta malam Lailatul Qadar. Mudah-mudah kita tergolong dalam hamba-hambaNya yang beruntung dan mendapat hidayah, serta tidak mensia-siakan ibadah Ramadhan, Insya Allah.
 

Beberapa adegan menarik sepanjang Majlis Forum Perdana Ramadhan & Berbuka Puasa

 

Para hadirin khusyu' mendengar forum perdana

Para peserta mula mengambil tempat sebelum majlis berbuka puasa


Antara hadirin yang sibuk mengambil lauk semasa majlis berbuka puasa

Semua hadirin berpuas hati dengan hidangan 'rohani' iaitu forum perdana dan juga hidangan makanan yang disediakan.

 
 
 
 

<< Sebelum