Teknik Menguraikan Masalah Secara Positif - Bhg. 1

 

Pernahkah anda berhadapan dengan masalah yang seolah-olah tiada penyelesaiannya? Anda sudah berhempas pulas memikirkan bagaimana hendak mengatasinya, tetapi usaha anda ibarat memindahkan gunung. Anda hanya berjumpa jalan mati. Tiada cadangan yang munasabah. Tiada pilihan yang mudah. Tiada jawapan yang menanti anda.

Tekanan yang anda hadapi apabila dalam keadaan begini pasti cukup berat! Tetapi pada hakikatnya anda bukan berseorangan dalam hal ini. Boleh dikatakan kehidupan kita seringkali diwarnai dengan cabaran-cabaran berat yang pada zahirnya umpama gunung yang tidak terdaki oleh kita!

Namun, bersabarlah! Pastikan kita tidak terlalu mudah berputus asa, kerana setiap masalah pasti mengandungi hikmah tersendiri. Firman Allah : “Maka sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kesenangan. Sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kesenangan.”

Yakini bahawa setiap masalah atau kegagalan itu hanya bersifat sementara, sebenarnya sikap putus asa lah yang akan menjadikannya kekal! Apa yang penting ialah kita perlu bersikap positif dan membuka minda kita kepada penyelesaian yang kita tidak pernah pertimbangkan sebelum ini. Berbekalkan sifat optimis ini, mari kita lihat lapan perkara yang boleh membantu mengorek terowong melalui gunung yang tak terdaki tadi.

Pertama, kita mungkin gagal menyelesaikan sesuatu masalah jika kita tidak betul-betul memahami masalah tersebut. Oleh itu, kita perlu mengambil sedikit masa untuk mengenal pasti punca masalah itu dan apa yang menyebabkan masalah itu berpanjangan. Tetapi jangan terlalu banyak meluangkan masa untuk berfikir mengenai masalah tersebut! Nisbah yang sebaiknya ialah 20% untuk memahami masalah dan 80% masa untuk mencari penyelesaian. Kefahaman yang baik terhadap masalah membantu kita memikirkan penyelesaian yang lebih berkualiti. Kita harus mengelakkan daripada bersikap terlalu simplistik (mempermudah, memperlekehkan sesuatu masalah) atau terlalu membesarkannya. Pada peringkat ini, kita perlu fokus kepada punca masalah, komponen yang terlibat serta perhubungan komponen tersebut antara satu sama lain.

Kedua, kita cuba kenalpasti andaian-andaian yang kita kebiasaannya buat apabila berhadapan dengan masalah-masalah tersebut. Kadang-kadang andaian dan prasangka kitalah yang mengaburkan mata kita terhadap penyelesaian-penyelesaian yang munasabah. Oleh itu, kita perlu meneliti andaian kita serta membezakan antara yang sah dan yang mana menghalang kita daripada menjumpai jalan penyelesaian.

(bersambung pada keluaran akan datang...Insya Allah)

Wallahu a’lam.

 

Masalah dan cabaran wujud agar kita sentiasa berkembang dan bergerak ke arah menjadi Insan yang lebih sempurna!

 

 

 
  << Sebelum   Teruskan >>