Teknik Menguraikan Masalah Secara Positif - Bhg. 3

 

(Pada edisi pertama, kita telah meneliti dua langkah awal dalam usaha menguraikan masalah secara positif. Dalam edisi kedua pula, kita telah menyentuh langkah 3 hingga 5 dalam kaedah ini. Kali ini kita akan perhatikan 3 langkah terakhir.)

Keenam. Orang barat ada mengatakan “Two heads are better than one.” Oleh itu jangan keberatan untuk meminta pendapat dan pandangan orang lain, terutama mereka yang lebih berpengalaman. Jangan pula meminta pandangan hanya sebagai syarat, atau menyedapkan hati. Anda perlu sentiasa terbuka kepada idea-idea baru, dan sentiasa berusaha menerapkan idea-idea tersebut pada mencari penyelesaian. Anda tidak perlu menjadi ‘hero’ dan cuba menyelesaikan setiap masalah anda seorang diri, setiap kali.

Ketujuh. Anda perlu bersabar. Sifat tabah sangat-sangat membantu setiap kali anda berhadapan dengan sebarang masalah besar. Jangan terburu-buru atau cepat melenting kerana sifat-sifat negatif ini menutup pintu-pintu penyelesaian. Kalau anda mendapat penyelesaian sekalipun, anda akan dihimbau perasaan bersalah atau menyesal. Penyelesaian terbaik ialah penyelesaian yang menjaga kebajikan semua pihak.

Kelapan. Dalam setiap langkah anda, jangan lupa berdoa dan memohon bantuan daripada Allah SWT. Ulama’ juga menyarankan agar apabila ditimpa masalah, banyakkan solat dan kebajikan serta sedekah kepada fakir miskin. Ini sebagai menyambut firman Allah : “Mereka yang berjihad pada jalan Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.” Firman Allah lagi : “Jika kamu menolong Allah (agamaNya), nescaya Allah akan menolong kamu.” Begitu juga ayat yang masyhur: “Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan memberinya jalan keluar, dan memberi rezeki kepadanya daripada jalan-jalan yang tidak disangka-sangka.”

Semoga lapan langkah ini dapat membantu kita menanam sikap positif dalam menghadapi masalah yang merupakan ujian daripada Allah s.w.t.

Wallahu a’lam.

 

Masalah dan cabaran wujud agar kita sentiasa berkembang dan bergerak ke arah menjadi Insan yang lebih sempurna!

 

 

 
  << Sebelum   Teruskan >>