Skim Dana Ihsan Ana (Skim DIA)
   

Berniaga sambil beramal, menjana sambil mendana!

     
 

Sememangnya malang itu tidak berbau...Namun bijak pandai juga mengingatkan; Sediakan payung sebelum hujan. Skim Dana Ihsan ANA (DIA) ialah satu usaha murni yang berinspirasikan konsep kekeluargaan dan kemesraan yang sangat dituntut dalam Islam. Anda yang menyertai Ana Edar Sdn. Bhd. bukan sahaja berpeluang berniaga dan menambahkan pendapatan tetapi juga beribadah dan menyumbang untuk masyarakat. Dalam erti kata lain, pihak syarikat menyediakan platform dan ruang untuk anda berniaga sambil beramal.

 

 

Skim DIA ini diwujudkan berasaskan konsep khairat kematian di mana sejumlah sumbangan akan diberikan kepada waris si mati berdasarkan jumlah hasil kutipan ahli/ peserta yang bersetuju dan juga sumbangan syarikat apabila berlaku kematian di kalangan salah seorang peserta yang bersetuju.

Adalah diharapkan sumbangan tersebut dapat membantu meringankan beban dan kesedihan yang ditanggung oleh ahli keluarga si mati berikutan kehilangan orang yang disayangi.

 

 

 

Skim DIA ini dikendalikan oleh syarikat dan dilaksanakan dengan membuat potongan sebanyak RM1.00 daripada bonus peserta yang bersetuju pada bulan selepas berlaku kematian tersebut sahaja. Bagi peserta yang layak, pihak Ana Edar Sdn. Bhd. akan menambah RM1.00 pula bagi setiap RM 1.00 yang dipotong daripada peserta.

Sebagai contoh, jika bilangan ahli aktif yang bersetuju adalah seramai 1,000 orang, maka skim DIA yang diperolehi daripada potongan bonus peserta adalah sebanyak RM1,000 dan pihak syarikat akan menyumbang sebanyak RM1,000 lagi. Ini menjadikan jumlah keseluruhan terkumpul untuk skim DIA sebanyak RM2 ,000.

Semoga usaha ini akan mendapat sambutan dan sokongan daripada seluruh warga Ana Edar Sdn. Bhd. ke arah mewujudkan silaturrahim yang lebih erat, mesra dan bertanggungjawab.

     
  Syarat dan Terma Skim DIA
  1. Terbuka kepada warga ahli Ana Edar Sdn. Bhd.
  2. Mestilah warganegara Malaysia.
  3. Berumur 18 tahun ke atas.
  4. Menyatakan persetujuan untuk menyertai Dana ini dengan menandatangani Borang Penyertaan yang disediakan.
  5. Tiada had usia dan tidak mengira tahap kesihatan.
  6. Mengekalkan belian minima 100 mata sebulan.
  7. Sumbangan RM 1.00 akan dipotong daripada bonus peserta yang bersetuju pada bulan  selepas tuntutan dan bukti kematian dikemukakan oleh waris kepada syarikat.
  8. Jika berlaku kematian, potongan bonus akan dibuat daripada semua peserta yang bersetuju tanpa melihat kelayakan mereka untuk mendapat khairat kematian.
     
  Syarat Tuntutan Waris
  1. Pewaris mestilah mengemukakan laporan polis atau sijil kematian peserta kepada syarikat dalam tempoh 14 hari dari tarikh kematian.
  2. Menyertakan maklumat keahlian yang lengkap.
  3. Kematian tidak disebabkan bunuh diri atau melakukan jenayah.
     
  Kaedah Pembayaran Dana Skim DIA
  1. Apabila tuntutan waris dikemukakan dan disahkan oleh syarikat, waris layak menerima sumbangan RM 1.00 daripada semua peserta Skim DIA yang mendapat bonus pada bulan berkenaan.
  2. Untuk mendapat sumbangan khairat daripada syarikat, iaitu tambahan sebanyak 100% daripada jumlah sumbangan peserta Skim DIA pada bulan berkenaan, peserta yang meninggal dunia mestilah mempunyai rekod pembelian barangan Ana berjumlah minima RM 1,500 (Ringgit Malaysia Seribu Lima Ratus Sahaja) dalam tempoh setahun (12 bulan) sebelum tarikh kematiannya.
     
     
 
   

<< Sebelum